Pecah Kaca Pecah Gelas
Posted in life on July 21st, 2008 by bayan
“Kita boleh berbual melalui gtalk, kenapa mesti menghantar e-surat?” Tanya saya kepada seorang teman maya.
“Sebab dah lama tak dapat e-surat,” jawabnya ringkas.
Surat. Menurut definisi zaman dahulu merupakan medium komunikasi yang terpenting dalam segala hal. Surat yang bertulis tangan sama ada menggunakan pen atau pensil, dakwat cair atau tidak serta menggunakan kertas yang pelbagai jenis.
Jika surat biasa, tiada bau atau gambar. Mungkin juga bergaris atau tidak. Jika bagi mereka yang sedang bercinta, kertas yang digunakan pasti wangi. Kalaupun bukan kerana kertas itu dicetak dengan mencampurkan bahan wangian, kekreatifan pengirim meletakkan sejumlah bedak wangi juga sesuatu yang unik.
Format surat pula pelbagai bergantung kepada penerimanya. Ucapan salam sejahtera atau Assalamualaikum tidak terlupakan. Juga pembuka bicara seperti frasa, ‘ke hadapan’ ayahanda, adinda, anakanda, dan sebagainya.
Pengakhirannya, ada harapan atau persoalan dan mungkin juga jawapan bagi penerima. Tidak terlupakan serangkap dua kata-kata hikmah atau pantun pelengkap isi kandungan surat yang mewakili keseluruhan diri pemberi atau penerima surat.
Pecah kaca pecah gelas,
sudah baca mohon balas.
Penulisan persuratan Melayu lama sangat kaya dengan permainan bahasa dan emosi. Segala-galanya terluah melalui surat itu. Segala persoalan dikemukakan dan dijawab melalui surat tanpa bertentang mata.
Persuratan Melayu lama kaya dengan nilai dan emosi.
Ia semakin hilang ditelan arus kemodenan. Sekarang sukar benar menatap surat yang klasik seperti yang saya terangkan di atas.
Jika ada yang berminat pun, untuk apa? Alangkan sambutan hari raya yang setahun cuma sekali juga sudah berubah cara pengucapannya dari kepingan kad yang dihantar bertukar kepada kiriman kad melalui e-surat, mms (sistem pesanan bergambar) dan paling mudah ucapan dititip lewat sms (sistem pesanan ringkas) sahaja.
Sebenarnya yang membezakan persuratan dahulu dengan sekarang adalah isi kandungannya. Gaya bahasa, permainan kata dan kesopanan yang terpelihara melalui persuratan lama, adakah masih dapat dirasai dengan penggunaan sistem terkini yang dikatakan lebih mudah dan menghubungkan manusia di serata dunia?
Membongkar album dan buku-buku lama milik orang tua, pasti akan ketemukan sehelai dua surat ‘cinta’ yang membuat kita kagum dengan nilai komunikasi masyarakat zaman dahulu.