Pecah Kaca Pecah Gelas

Posted in life on July 21st, 2008 by bayan

 

dsc_0097.JPG

“Kita boleh berbual melalui gtalk, kenapa mesti menghantar e-surat?” Tanya saya kepada seorang teman maya.

“Sebab dah lama tak dapat e-surat,” jawabnya ringkas.

Surat. Menurut definisi zaman dahulu merupakan medium komunikasi yang terpenting dalam segala hal. Surat yang bertulis tangan sama ada menggunakan pen atau pensil, dakwat cair atau tidak serta menggunakan kertas yang pelbagai jenis.

Jika surat biasa, tiada bau atau gambar. Mungkin juga bergaris atau tidak. Jika bagi mereka yang sedang bercinta, kertas yang digunakan pasti wangi. Kalaupun bukan kerana kertas itu dicetak dengan mencampurkan bahan wangian, kekreatifan pengirim meletakkan sejumlah bedak wangi juga sesuatu yang unik.

Format surat pula pelbagai bergantung kepada penerimanya. Ucapan salam sejahtera atau Assalamualaikum tidak terlupakan. Juga pembuka bicara seperti frasa, ‘ke hadapan’ ayahanda, adinda, anakanda, dan sebagainya.

Pengakhirannya, ada harapan atau persoalan dan mungkin juga jawapan bagi penerima. Tidak terlupakan serangkap dua kata-kata hikmah atau pantun pelengkap isi kandungan surat yang mewakili keseluruhan diri pemberi atau penerima surat.

Pecah kaca pecah gelas,

sudah baca mohon balas.

 

Penulisan persuratan Melayu lama sangat kaya dengan permainan bahasa dan emosi. Segala-galanya terluah melalui surat itu. Segala persoalan dikemukakan dan dijawab melalui surat tanpa bertentang mata.

Persuratan Melayu lama kaya dengan nilai dan emosi.

Ia semakin hilang ditelan arus kemodenan. Sekarang sukar benar menatap surat yang klasik seperti yang saya terangkan di atas.

Jika ada yang berminat pun, untuk apa? Alangkan sambutan hari raya yang setahun cuma sekali juga sudah berubah cara pengucapannya dari kepingan kad yang dihantar bertukar kepada kiriman kad melalui e-surat, mms (sistem pesanan bergambar) dan paling mudah ucapan dititip lewat sms (sistem pesanan ringkas) sahaja.

Sebenarnya yang membezakan persuratan dahulu dengan sekarang adalah isi kandungannya. Gaya bahasa, permainan kata dan kesopanan yang terpelihara melalui persuratan lama, adakah masih dapat dirasai dengan penggunaan sistem terkini yang dikatakan lebih mudah dan menghubungkan manusia di serata dunia?

Membongkar album dan buku-buku lama milik orang tua, pasti akan ketemukan sehelai dua surat ‘cinta’ yang membuat kita kagum dengan nilai komunikasi masyarakat zaman dahulu.

Sign Up Advertlets
Tags: , ,

Yang Terbaik Buat Mereka

Posted in life on July 8th, 2008 by bayan

Di astro Oasis, anak-anak dididik untuk taat pada Allah s.w.t [melalui solat lima waktu] dengan paparan iklan sebelum subuh yang baik.

Antara dialognya;

“Abang, bangunlah, nanti tuhan marah. Adik takut”

Dan si abang yang sebelum ini liat untuk bangun dan menunaikan solat, serta merta bangun untuk memenuhi tuntutan agama itu.

Bukankah didikan awal terhadap anak-anak, itu yang terbaik untuk mereka menjadi hamba yang bertaqwa dan dirahmati oleh tuhannya?

Kini, untuk si dewasa, mereka dijanjikan hal-hal dunia yang baik jika mereka menunaikan perintah Allah s.w.t . Mensyaratkan solat lima waktu dan akan dijanjikan dengan pangkat dan kelebihan2 lain kelihatan agak keterlaluan dalam mendidik si dewasa.

Begitu sekalikah caranya mahu mendidik masyarakat melakukan perintah Tuhan?

Namun, harus diingat, bukankah saling mengingati sesama muslim tentang tanggungjawab terhadap maha Pencipta itu satu kewajipan?

Bukankah berusaha agar saudara sesama muslim kembali kepada jalan yang benar itu satu usaha yang baik?

Untuk kanak-kanak lain caranya.

Untuk yang dewasa juga ada caranya.

Asalkan kedua-dua cara itu baik, itu sudah memadai untuk mengingatkan kita bahawa tugas mendidik diri sendiri dan orang lain bukan satu tugas yang mudah, namun ia bukan membebankan selagi kita berusaha.

Semoga usaha itu mendatangkan banyak kebaikan.

Tags: , ,

Andai Ku Tahu…

Posted in life on June 27th, 2008 by bayan

tuhan.jpg

Andai saya tahu bila ajal saya, tidak perlu saya bertelagah dengan mereka tentang kematian saya yang saya rasa amat hampir masanya….

Sejak akhir-akhir ini, saya tidak menentu. Jiwa dan perasaan terasa semacam. Sudah beberapa hari tidak berselera menjamah walau apa jua makanan.

Sudah beberapa hari tidak berperasaan apabila melihat jualan murah di SOGO atau di mana-mana.

Sudah beberapa hari tidak menghiraukan baju yang akan dipakai di pejabat, tudung yang akan dipadankan dengan baju dan paling teruk hampir terlupa memakai pakaian dalam…

Kerja, banyak terbengkalai. Target untuk bulan ini kecamuk.

Saya rasa saya hampir menemui kematian. Saya katakan pada Jiji, Su, Eton, Azli, Boboy dan ramai lagi kawan-kawan pejabat.

Saya tak mahu makan bukan kerana diet. Saya tak mahu buat artikel bukan kerana kekeringan ilham. sya marah-marah dan kadangkala tidak marah bukan kerana datang haid.

Saya rasa saya buang tabiat a.k.a menemui ajal dalam masa terdekat ini.

Mereka marah dan buat muka. Saya tak faham.

Saya memang rasa saya akan menemui Tuhan dalam masa terdekat ini…

Tags: , , ,

Puzzle

Posted in life on June 24th, 2008 by bayan

 dsc_0644.JPG

Hidup umpama ‘puzzle’. Percayalah.

Kita yang menyusun atur ‘puzzle’ itu sehingga terhasil sebuah paparan. Paparan itu menarik atau tidak bergantung kepada kebijaksanaan dan jiwa yang kita ada. Iman jangan lupa.

Kita atur ‘puzzle’ dengan jiwa yang kacau, akal yang entah ke mana. Iman terbang melayang. Hasilnya…paparan yang entah apa-apa.

Tags: , ,

Menantimu Jejaka….

Posted in life on June 18th, 2008 by bayan

dsc_0211.JPG

Menantimu jejaka,
bagai menyusun sepuluh jari

menadah tangan menanti titis hujan
namun,
kemarau melanda

 

menantimu jejaka…
tangan gadis ini telah kaku
untuk menadah
kerana titis hujan
masih tidak turun

 

menantimu jejaka…
kuanggapkan bagai cahaya
yang hadir setiap pagi
walaupun tidak dapat dijangkau
sinarnya tetap menyimbah
wajahku…
hatiku…
jiwaku…

 

Penantian ini
akan berakhir
ESOK!

Tags: ,

Now or Never : Kisah Mereka

Posted in infotainment on June 16th, 2008 by bayan

Saya tidak pasti bagaimana perasaan saya. Tetapi setelah menonton filem lama ini, saya lebih menghargai setiap masa yang ada. [Maaf, poster filem atau gambar babak tak ditemui]

Sabtu lalu, di saluran astro yang mana pun saya tak ingat. Namun, setiap babak dalam filem ini masih segar dalam ingatan.

Now or Never atau dalam bahasa Germannya Etzt Oder Ne : Zeit ist Geld (2001) mengisahkan kehidupan warga tua di sebuah daerah di German.

Carla (Christel Okras), Beta (Christel Peters), dan Lily (Elisabeth Scherer), memainkan peranan utama sebagai warga tua yang bercita-cita tinggi, sebelum mereka menemui ajal- mahu bercuti dengan menaiki kapal layar menggunakan duit simpanan hasil pungutan dari lelongan barang kepada rumah warga tua di tempat mereka.

Wang simpanan yang dikumpul merupakan hasil jualan barang yang dicuri di kedai runcit daerah itu.

Setelah wang yang dikumpul mencukupi iaitu hampir 10 marks, mereka menuju ke sebuah agensi pelancongan untuk merealisasikan cita-cita mereka. Namun, wang tabungan itu tidak diterima melainkan ia ditukar terlebih dahulu di bank.

Mereka menuju ke bank untuk membuat simpanan. Di bank pula, mereka harus mengasingkan wang tersebut dengan nilai yang sama sebelum di depositkan ke dalam akaun.

Semasa sedang mengasing-asingkan wang tersebut, bank itu telah dirompak dan wang mereka lesap tanpa jaminan daripada pihak bank. Hal ini menimbulkan kemarahan bagi ketiga-tiga warga tua ini lantas mengadakan rancangan untuk merompak bank tersebut.

Mereka gagal untuk kali pertama. Tetapi berjaya untuk kali kedua. Berjaya melarikan wang walaupun mereka ditangkap dan dipenjarakan.

Carla, meninggal dalam penjara dan menimbulkan kepiluan kepada teman-temannya. Hasrat mereka untuk bercuti bersama tidak kesampaian.

wang yang dicuri disembunyikan di rumah warga tua. Dan wang tersebut telah dikongsi oleh kesemua warga tua tersebut untuk membeli sebuah kapal dan mereka belayar beramai-ramai.

Filem ini amat menarik kerana;

  1. Menggunakan bahasa yang penuh humor dan sarkastik walaupun menyatakan emosi sedih dan pilu
  2. Babak-babak yang tidak terjangka oleh fikiran diselitkan dengan baik
  3. Nilai kekeluargaan dan persahabatan yang pelik dan menarik
  4. Memaparkan kehidupan warga tua yang cuba menjalani kehidupan ahkir mereka dengan cara mereka tersendiri
  5. Semangat kental dan kesungguhan tidak kira usia.
Tags: , , , , ,

Jauh…

Posted in life on June 3rd, 2008 by bayan

dsc_0288psd.jpg

Tags: , ,

Sekam

Posted in life on May 28th, 2008 by bayan

 dsc_0245.JPG

dendam di dalam diam, bagaikan api membakar sekam

Dendam antara dua keluarga itu memang telah lama berlangsung. Bukan dendam antara dua keluarga. Tetapi hanya sebuah keluarga yang mendendami pihak yang lagi satu, tanpa pihak tersebut menyedarinya.

Hari ini dendam itu terbalas. Dan tikaman dari belakang yang bertubi-tubi membuat seluruh keluarga yang teraniaya itu diam. Terdiam.

Hari itu, pukul 1.30 pagi. Telefon berbunyi.

“kak, adik kena tangkap polis. Dituduh merogol anak gadis”

Pemanggil memberitahu dengan jelas. Penerima pula diam tidak berbalas.

Aduhai, ujian apakah yang ingin Engkau berikan. Jiwa yang bagaimanakah yang ingin Kau bina dalam diriku ya Tuhan.

Tags: , , ,

Angin Itu Cinta

Posted in life on May 21st, 2008 by bayan

 dsc_0207_editedpsd.jpg

Angin itu,
datangnya sekali menyebak langsir kelam
angin, kataku,
jika mahu datang, berilah salam
walau bukan doa sejahtera
aku masih perlu sapa kenal.

 

Suatu waktu,
langsir kelam masih berbalam,
cahaya tidak bersapa.

 

Suatu hari ini,
langsir kelam digugah angin,
halus dan sebak.

 

Lantas dari celahan itu kulihat cahaya,
yang selama ini kunafikan dengan isbat yang kental.

 

Lalu, silauan cahaya itu meyebar rasa cinta
bahawa gelap itu bukan apa-apa
untuk hidup
untuk cinta
untuk terbang ke mana-mana.

 

Langsir kelam itu
rupanya egoku
enggan melihat cahaya
walau ia berada dihujung jari dan mata.

 

aku temukan lagi cinta
dalam tidak ego dan kesima.

 

*Demi masa, sesungguhnya aku berada dalam kerugian.
Kerugian yang telah tuhan janjikan untuk mereka yang menolak cahaya. Dan angin yang semakin berpuput lembut, rupanya cinta yang selama ini aku nafikan.

Tags: , ,

Paksa

Posted in life on May 12th, 2008 by bayan

 

dsc_0035.JPG

kamu tidak suka dengan apa yang kamu hadapi, sekurang-kurangnya bersyukur kerana dengan keterpaksaan itu kamu boleh berfikir dan melakukan sesuatu yang lain

Apabila kita memaksa diri melakukan sesuatu, kita tidak akan gembira dan rasa benci pada apa yang kita lalui. Ramai yang gagal mencari alternatif apabila perasaan terpaksa menyelubungi diri.

Tetapi, majlis ilmu [forum, seminar, bengkel, ceramah, kuliah dan sebagainya], merupakan satu paksaan yang baik.

Jangan anggap menghadirkan diri dalam majlis ini sesuatu yang tidak berfaedah.

*Saya syak kakak yang menghadiri bicara itu terpaksa menghadirinya. Tetapi dia mengambil langkah yang bijak - dengan membaca novel Ayat-Ayat Cinta. Mungkin itu lebih baik dari tidur ketika panel berbicara di hadapan.

Tags: , ,