Archive for the 'life' Category

Ini Berita Tempatan…

Posted in life on November 7th, 2008 by bayan

Berita luar negara, yang jarang sekali kita akan dengar tentangnya ;

Anak Dara Paling Tua di Britain

Berita tempatan, yang selalu sangat kita baca di dalam akhbar ;

Anak Dara Paling Muda di Malaysia

Tags: , ,

Jika Tiada Angin Masakan Pokok Bergoyang

Posted in life on October 31st, 2008 by bayan


Kiasan lama yang biasa digunakan oleh orang untuk menyatakan maksud ‘jika tiada sebab musabab sesuatu perkara itu takkan berlaku’.

Saya sambung begini ;
‘Jika tiada angin pokok tidak akan bergoyang kecuali ada monyet yang menggoyangkannya’.

Maksudnya tetap sama. Sama ada ‘angin’ atau ‘monyet’ yang menjadi penyebab, pokok akan bergoyang.

KOMA

Suatu waktu dahulu, semasa tinggal di kampung rumah kami tidak berpagar. Itu budaya kampung. Aturan kosmos yang meyakinkan.

Beberapa ketika, tidur kami terganggu. Bunyi pelik dan menakutkan melingkari ruang pendengaran. Bunyi pokok bergoyang dan dahan berantakan sesama ranting. Rentapan halus dan derapan tapak kaki terdengar. Malahan terdengar ruang dapur rumah kami diselongkar. Bunyi periuk dan pinggan pecah kedengaran. Tidak lama kemudian, bunyi itu senyap.

Adik pucat. Ibu bungkam. Saya dan kakak cuak. Abah tiada di rumah ketika itu.

Esok pagi, kami lihat pokok manggis di sebelah rumah kami, dahannya bagai dicakar-cakar. Rantingnya patah dan daun-daun muda gugur menyepahkan halaman. Buah manggis yang mula meranum berselerakan di tanah dengan kesan gigitan dan kupasan yang tidak kemas. Bersepah. Sana-sini.

KOMA

Monyet yang mengganggu pokok buah-buahan di sekeliling rumah kami harus di bunuh. Kata abah.

Tapi emak melarang. apatah lagi waktu itu emah berbadan dua. Takut ‘terkenan’ katanya.

Abah diam.

KOMA

Rumah kami di kampung menjadi rumah pertama memasang pagar yang agak tinggi dan di sertai kawat berduri di bahagian atasnya.

Kami katakan pada orang kampung, walaupun rumah kami berpagar, silaturrahim dan ikatan dengan mereka yang di luar pagar tetap terjalin. Baik seperti dahulu.

Petang itu, apek Cina hujung kampung bawa senapang. Mahu menembak monyet-monyet yang menggangu kebun pisangnya.

Dan bayangan berbelas ekor monyet mati ditembak apek Cina masih berbekas di mata. Ibu monyet dan anaknya saling berpelukan dalam darah pekat yang mengalir. Nafas mereka tiada.

KOMA

Untuk ketenteraman dan keselamatan, tidak semestinya harus menghapuskan ‘gangguan’. Banyak cara untuk menghindar.

Tetapi jika keterlaluan dan tiada pilihan, mungkin cara yang ‘kasar’ dan ‘zalim’ harus diambil.

Monyet atau angin, ia tetap menjadi penyebab mengapa pokok bergoyang.

Tags: , ,

Jika Tidak Mahu Jadi Baik…

Posted in life on October 28th, 2008 by bayan

Jangan heret orang lain untuk buat jahat.

Ketika diri di pintu hidayah, ada tangan-tangan jahat berselirat di jiwa dan akal. Tuhan, berilah hidayah untuk dia. Semoga dia lebih memahami erti dosa dan pahala. Amin.

Cuaca sejak akhir-akhir ini sangat panas. Bahangnya tidak mengampuni sesiapa. Di dalam pejabat yang berhawa dingin dan di dalam rumah yang berputar ligat kipas siling, panas sang mentari menusuk ke liang tubuh.

Dalam keadaan begini, banyak perkara yang dahulunya dirancang dalam ‘musim sejuk’ tidak menjadi seperti yang dirancang. Tapi tidak mengapa. Bukankah percaturan Tuhan maha hebat?

Kesilapan lampau jika diulang maka tergolonglah kamu dalam golongan orang-orang yang rugi.

Mimpi yang mengundang dosa, jika tidak direalitikan, maka hiduplah kamu dalam pura-pura.

Saya tidak mahu tergolong dalam golongan orang-orang yang rugi dengan mengulangkisah perkara-perkara silam.

Saya juga tidak mahu mengundang dosa dengan merealitikan mimpi, sedangkan mimpi itu cuma mainan tidur dan kebanyakan pelakonnya adalah Syaitan Laknatullah.

Harus bijak mentafsir mimpi.

Tags: , , , , ,

Bunga Yang Berapi dan Meletup

Posted in life on October 9th, 2008 by bayan

 

bungaapi.jpg

 

Bunga api dan mercun itu budaya kitakah menyambut perayaan?

Tags: ,

Ayam dan Penggera Jam

Posted in life on September 19th, 2008 by bayan

 

ayam.jpg

Pagi tadi tak sahur. Lupa nak kunci jam. Ayam pun tak ada untuk tolong kejutkan saya bersahur.

Tags: ,

Mereka di Bulan Ramadhan

Posted in life on September 15th, 2008 by bayan

 dsc_0393.JPG

Wanita sibuk memikirkan menu apakah yang akan dipilih untuk berbuka nanti. Itupun jika dia rajin ke dapur.

535708589_5080a655e5_m.jpg

Lelaki sibuk mencari cara menahan diri dari ketagihan rokok.

 dsc00222.jpg

Masjid, tempat mereka bersatu. Alhamdulillah. 

Tags: , , , , ,

Dugaan dan Ruang Kita Beza Amat!

Posted in life on September 12th, 2008 by bayan

dsc_0172.JPG

Apabila pesanan ringkas (sms), dan panggilan kamu tidak berjawab, percayalah bahawa teman yang kamu hubungi tidak mahu diganggu atau memerlukan ruangnya sendiri.

Ini kerana, ruang kamu dan ruang dia berbeza.

Dugaan kamu dan dugaan dia juga berbeza walaupun puncanya sama. Hati!

Tags: ,

Apabila Akal Tiada Kimia Dengan Hati

Posted in life on August 4th, 2008 by bayan

 sendiri.JPG

 Maka…

 

Apa yang dingin dirasa hangat
Segala yang manis terasa pahitnya
Tiap yang indah tiada tenang
Tiap yang tenang terasa sesak
Tiap yang sesak terasa pilu

 

ubat gigi sapu di pipi
pencuci muka usap di rambut
guna syampu untuk membersihkan gigi.

 

Aduhai….

Tags:

Pecah Kaca Pecah Gelas

Posted in life on July 21st, 2008 by bayan

 

dsc_0097.JPG

“Kita boleh berbual melalui gtalk, kenapa mesti menghantar e-surat?” Tanya saya kepada seorang teman maya.

“Sebab dah lama tak dapat e-surat,” jawabnya ringkas.

Surat. Menurut definisi zaman dahulu merupakan medium komunikasi yang terpenting dalam segala hal. Surat yang bertulis tangan sama ada menggunakan pen atau pensil, dakwat cair atau tidak serta menggunakan kertas yang pelbagai jenis.

Jika surat biasa, tiada bau atau gambar. Mungkin juga bergaris atau tidak. Jika bagi mereka yang sedang bercinta, kertas yang digunakan pasti wangi. Kalaupun bukan kerana kertas itu dicetak dengan mencampurkan bahan wangian, kekreatifan pengirim meletakkan sejumlah bedak wangi juga sesuatu yang unik.

Format surat pula pelbagai bergantung kepada penerimanya. Ucapan salam sejahtera atau Assalamualaikum tidak terlupakan. Juga pembuka bicara seperti frasa, ‘ke hadapan’ ayahanda, adinda, anakanda, dan sebagainya.

Pengakhirannya, ada harapan atau persoalan dan mungkin juga jawapan bagi penerima. Tidak terlupakan serangkap dua kata-kata hikmah atau pantun pelengkap isi kandungan surat yang mewakili keseluruhan diri pemberi atau penerima surat.

Pecah kaca pecah gelas,

sudah baca mohon balas.

 

Penulisan persuratan Melayu lama sangat kaya dengan permainan bahasa dan emosi. Segala-galanya terluah melalui surat itu. Segala persoalan dikemukakan dan dijawab melalui surat tanpa bertentang mata.

Persuratan Melayu lama kaya dengan nilai dan emosi.

Ia semakin hilang ditelan arus kemodenan. Sekarang sukar benar menatap surat yang klasik seperti yang saya terangkan di atas.

Jika ada yang berminat pun, untuk apa? Alangkan sambutan hari raya yang setahun cuma sekali juga sudah berubah cara pengucapannya dari kepingan kad yang dihantar bertukar kepada kiriman kad melalui e-surat, mms (sistem pesanan bergambar) dan paling mudah ucapan dititip lewat sms (sistem pesanan ringkas) sahaja.

Sebenarnya yang membezakan persuratan dahulu dengan sekarang adalah isi kandungannya. Gaya bahasa, permainan kata dan kesopanan yang terpelihara melalui persuratan lama, adakah masih dapat dirasai dengan penggunaan sistem terkini yang dikatakan lebih mudah dan menghubungkan manusia di serata dunia?

Membongkar album dan buku-buku lama milik orang tua, pasti akan ketemukan sehelai dua surat ‘cinta’ yang membuat kita kagum dengan nilai komunikasi masyarakat zaman dahulu.

Tags: , ,

Yang Terbaik Buat Mereka

Posted in life on July 8th, 2008 by bayan

Di astro Oasis, anak-anak dididik untuk taat pada Allah s.w.t [melalui solat lima waktu] dengan paparan iklan sebelum subuh yang baik.

Antara dialognya;

“Abang, bangunlah, nanti tuhan marah. Adik takut”

Dan si abang yang sebelum ini liat untuk bangun dan menunaikan solat, serta merta bangun untuk memenuhi tuntutan agama itu.

Bukankah didikan awal terhadap anak-anak, itu yang terbaik untuk mereka menjadi hamba yang bertaqwa dan dirahmati oleh tuhannya?

Kini, untuk si dewasa, mereka dijanjikan hal-hal dunia yang baik jika mereka menunaikan perintah Allah s.w.t . Mensyaratkan solat lima waktu dan akan dijanjikan dengan pangkat dan kelebihan2 lain kelihatan agak keterlaluan dalam mendidik si dewasa.

Begitu sekalikah caranya mahu mendidik masyarakat melakukan perintah Tuhan?

Namun, harus diingat, bukankah saling mengingati sesama muslim tentang tanggungjawab terhadap maha Pencipta itu satu kewajipan?

Bukankah berusaha agar saudara sesama muslim kembali kepada jalan yang benar itu satu usaha yang baik?

Untuk kanak-kanak lain caranya.

Untuk yang dewasa juga ada caranya.

Asalkan kedua-dua cara itu baik, itu sudah memadai untuk mengingatkan kita bahawa tugas mendidik diri sendiri dan orang lain bukan satu tugas yang mudah, namun ia bukan membebankan selagi kita berusaha.

Semoga usaha itu mendatangkan banyak kebaikan.

Tags: , ,