Archive for October 31st, 2008

Jika Tiada Angin Masakan Pokok Bergoyang

Posted in life on October 31st, 2008 by bayan


Kiasan lama yang biasa digunakan oleh orang untuk menyatakan maksud ‘jika tiada sebab musabab sesuatu perkara itu takkan berlaku’.

Saya sambung begini ;
‘Jika tiada angin pokok tidak akan bergoyang kecuali ada monyet yang menggoyangkannya’.

Maksudnya tetap sama. Sama ada ‘angin’ atau ‘monyet’ yang menjadi penyebab, pokok akan bergoyang.

KOMA

Suatu waktu dahulu, semasa tinggal di kampung rumah kami tidak berpagar. Itu budaya kampung. Aturan kosmos yang meyakinkan.

Beberapa ketika, tidur kami terganggu. Bunyi pelik dan menakutkan melingkari ruang pendengaran. Bunyi pokok bergoyang dan dahan berantakan sesama ranting. Rentapan halus dan derapan tapak kaki terdengar. Malahan terdengar ruang dapur rumah kami diselongkar. Bunyi periuk dan pinggan pecah kedengaran. Tidak lama kemudian, bunyi itu senyap.

Adik pucat. Ibu bungkam. Saya dan kakak cuak. Abah tiada di rumah ketika itu.

Esok pagi, kami lihat pokok manggis di sebelah rumah kami, dahannya bagai dicakar-cakar. Rantingnya patah dan daun-daun muda gugur menyepahkan halaman. Buah manggis yang mula meranum berselerakan di tanah dengan kesan gigitan dan kupasan yang tidak kemas. Bersepah. Sana-sini.

KOMA

Monyet yang mengganggu pokok buah-buahan di sekeliling rumah kami harus di bunuh. Kata abah.

Tapi emak melarang. apatah lagi waktu itu emah berbadan dua. Takut ‘terkenan’ katanya.

Abah diam.

KOMA

Rumah kami di kampung menjadi rumah pertama memasang pagar yang agak tinggi dan di sertai kawat berduri di bahagian atasnya.

Kami katakan pada orang kampung, walaupun rumah kami berpagar, silaturrahim dan ikatan dengan mereka yang di luar pagar tetap terjalin. Baik seperti dahulu.

Petang itu, apek Cina hujung kampung bawa senapang. Mahu menembak monyet-monyet yang menggangu kebun pisangnya.

Dan bayangan berbelas ekor monyet mati ditembak apek Cina masih berbekas di mata. Ibu monyet dan anaknya saling berpelukan dalam darah pekat yang mengalir. Nafas mereka tiada.

KOMA

Untuk ketenteraman dan keselamatan, tidak semestinya harus menghapuskan ‘gangguan’. Banyak cara untuk menghindar.

Tetapi jika keterlaluan dan tiada pilihan, mungkin cara yang ‘kasar’ dan ‘zalim’ harus diambil.

Monyet atau angin, ia tetap menjadi penyebab mengapa pokok bergoyang.

Tags: , ,