Archive for July, 2008

Musim Pertemuan

Posted in Album on July 31st, 2008 by bayan

dsc_0087.JPG

Musim ini tidak seperti yang lalu

Saat kusapa dirimu

Kau hanya diam membisu

Bisikanmu masih berbekas…

“terimalah penyerahan ini”

Aku rela.

 dsc_0091.JPG

Hari minggu yang lalu, meredah daerah Rawang, batangkali, Rasa, Kuala Kubu Bharu dengan pemandangan yang enak dan manis. Wah…beruntungnya mereka yang memiliki tanah untuk berkebun dan berdusun.

Musim buah sudah tiba.

Sign Up Advertlets
Tags:

Pecah Kaca Pecah Gelas

Posted in life on July 21st, 2008 by bayan

 

dsc_0097.JPG

“Kita boleh berbual melalui gtalk, kenapa mesti menghantar e-surat?” Tanya saya kepada seorang teman maya.

“Sebab dah lama tak dapat e-surat,” jawabnya ringkas.

Surat. Menurut definisi zaman dahulu merupakan medium komunikasi yang terpenting dalam segala hal. Surat yang bertulis tangan sama ada menggunakan pen atau pensil, dakwat cair atau tidak serta menggunakan kertas yang pelbagai jenis.

Jika surat biasa, tiada bau atau gambar. Mungkin juga bergaris atau tidak. Jika bagi mereka yang sedang bercinta, kertas yang digunakan pasti wangi. Kalaupun bukan kerana kertas itu dicetak dengan mencampurkan bahan wangian, kekreatifan pengirim meletakkan sejumlah bedak wangi juga sesuatu yang unik.

Format surat pula pelbagai bergantung kepada penerimanya. Ucapan salam sejahtera atau Assalamualaikum tidak terlupakan. Juga pembuka bicara seperti frasa, ‘ke hadapan’ ayahanda, adinda, anakanda, dan sebagainya.

Pengakhirannya, ada harapan atau persoalan dan mungkin juga jawapan bagi penerima. Tidak terlupakan serangkap dua kata-kata hikmah atau pantun pelengkap isi kandungan surat yang mewakili keseluruhan diri pemberi atau penerima surat.

Pecah kaca pecah gelas,

sudah baca mohon balas.

 

Penulisan persuratan Melayu lama sangat kaya dengan permainan bahasa dan emosi. Segala-galanya terluah melalui surat itu. Segala persoalan dikemukakan dan dijawab melalui surat tanpa bertentang mata.

Persuratan Melayu lama kaya dengan nilai dan emosi.

Ia semakin hilang ditelan arus kemodenan. Sekarang sukar benar menatap surat yang klasik seperti yang saya terangkan di atas.

Jika ada yang berminat pun, untuk apa? Alangkan sambutan hari raya yang setahun cuma sekali juga sudah berubah cara pengucapannya dari kepingan kad yang dihantar bertukar kepada kiriman kad melalui e-surat, mms (sistem pesanan bergambar) dan paling mudah ucapan dititip lewat sms (sistem pesanan ringkas) sahaja.

Sebenarnya yang membezakan persuratan dahulu dengan sekarang adalah isi kandungannya. Gaya bahasa, permainan kata dan kesopanan yang terpelihara melalui persuratan lama, adakah masih dapat dirasai dengan penggunaan sistem terkini yang dikatakan lebih mudah dan menghubungkan manusia di serata dunia?

Membongkar album dan buku-buku lama milik orang tua, pasti akan ketemukan sehelai dua surat ‘cinta’ yang membuat kita kagum dengan nilai komunikasi masyarakat zaman dahulu.

Tags: , ,

Yang Terbaik Buat Mereka

Posted in life on July 8th, 2008 by bayan

Di astro Oasis, anak-anak dididik untuk taat pada Allah s.w.t [melalui solat lima waktu] dengan paparan iklan sebelum subuh yang baik.

Antara dialognya;

“Abang, bangunlah, nanti tuhan marah. Adik takut”

Dan si abang yang sebelum ini liat untuk bangun dan menunaikan solat, serta merta bangun untuk memenuhi tuntutan agama itu.

Bukankah didikan awal terhadap anak-anak, itu yang terbaik untuk mereka menjadi hamba yang bertaqwa dan dirahmati oleh tuhannya?

Kini, untuk si dewasa, mereka dijanjikan hal-hal dunia yang baik jika mereka menunaikan perintah Allah s.w.t . Mensyaratkan solat lima waktu dan akan dijanjikan dengan pangkat dan kelebihan2 lain kelihatan agak keterlaluan dalam mendidik si dewasa.

Begitu sekalikah caranya mahu mendidik masyarakat melakukan perintah Tuhan?

Namun, harus diingat, bukankah saling mengingati sesama muslim tentang tanggungjawab terhadap maha Pencipta itu satu kewajipan?

Bukankah berusaha agar saudara sesama muslim kembali kepada jalan yang benar itu satu usaha yang baik?

Untuk kanak-kanak lain caranya.

Untuk yang dewasa juga ada caranya.

Asalkan kedua-dua cara itu baik, itu sudah memadai untuk mengingatkan kita bahawa tugas mendidik diri sendiri dan orang lain bukan satu tugas yang mudah, namun ia bukan membebankan selagi kita berusaha.

Semoga usaha itu mendatangkan banyak kebaikan.

Tags: , ,