Archive for January 3rd, 2008

Kononnya…

Posted in life on January 3rd, 2008 by bayan

 bus.gif

Semalam, bas lambat. Jalan jem. Hujan rintik. 5 minit. 10 minit. 15 minit. 25 minit. Kononnya naik bas lebih senang. Akhirnya 30 minit baru bas muncul. Sekali dua. Metro 100 dan selang satu bas Rapid Kl U8. Mana satu saya nak naik?

Pagi tadi saya naik bas Rapid KL U8, RM2. Jika saya mahu berjimat, saya harus menaiki bas yang sama tanpa bayaran.  Tapi Rapid KL U8 yang ada depan mata sekarang sangat penuh dan sesak. Kena berdiri. Dan saya tak tahan berdiri kerana kaki saya uzur. Ada besi di dalamnya yang ditanam 6 tahun yang lepas.

Di hadapan mata pula, Metro 100 hampir bergerak. Agak kosong. Tapi saya perlu mengeluarkan RM2 untuk pulang ke rumah.

Ahhh..

Saya berjalan laju. Menuju Metro 100. Tak kisahlah kena bayar RM2.

Bas jalan. Kondukter India- kurus - melidi menjerit-jerit, “kepong, Damansara, Damai,…”. Dan air liurnya menimpa amoi cun berskirt pendek yang baru melangkah menaiki tangga bas. Amoi memasamkan muka. Dan mengeluarkan tisu.

Belakang saya ada Zul [setan]. Dia kacau-kacau saya. Saya tunjuk penumbuk. Dia cakap pasal bapuk yang berdiri di bahagian hadapan bas. Bapuk itu gemuk. Bulu tangannya kasar. Seluar coklat ketat yang dipakai ada kesan tetas yang dijahit semula dengan benang putih.

Kata Zul ” wow…besarnya halkum”

“ishh..diamlah Zul,” saya jawab kerana bimbang bapuk tersebut akan mengamuk. Mereka kan kaum yang sensitif [kononnya]

“tu kalau tendang bola tu kalah Khalid Jamlus” sambung Zul yang macam setan tak takut dengan risiko yang bakal berlaku.

Sekali bapuk menoleh. Saya pandang keluar. Zul pura-pura menyanyi lagu Laskar Cinta. Huh..Zul, kononnya macam berani.

Bas penuh. Seorang perempuan berdiri memeluk tiang. Beg yang disandang agak besar. Tapi dia memegang botol air cantik yang kosong. Kenapa botol itu tidak dimasukkan ke dalam beg supaya dia mudah memegang tiang dan pasti tidak jatuh ketika bas membrek atau membelok. Mungkin botol air itu sangat comel. Rugi jika orang tak nampak. Mungkin. Bas laju.

Bas laju.

Sampai di Metro Prima. Ada Jusco Kepong dan Carrefour Kepong.

Dua orang lelaki muda yang stylo naik. Rambut agak perang dan tegak-tegak. Wet n wild [kononnya]. Berdiri di sebelah tempat duduk saya. Mereka tersengih.

Mereka pegang alat pemegang. Baju mereka kecik dan pendek, terangkat ketika tangan memgang tiang. Tali pinggang mereka terbuka. Owhhh….sengaja tidak dikunci tali pinggang itu kerana fesyen terkini. Seluar juga tidak berkancing dan zipnya terbuka hampir setengah. Ada bulu halus.

Saya pandang ke luar tingkap. Itu lebih baik dari berfikir yang bukan-bukan. Kan saya perempuan [yang manis].

Sampai rumah lambat. Ita dan Yaya tengah tengok Spa Q. saya duduk sama di sofa dan cerita pasal lelaki yang tak zip seluarnya itu. Ita kata itu fesyen. Hah? fesyen bodoh! saya jawab.

Kononnya nak berehat. Tapi banyak kerja kena selesaikan.

Sign Up Advertlets