Aduhai, Siapa Yang Keletah?
Posted in semasa on December 24th, 2007 by bayanPertama kali bersantai depan televisyen petang Sabtu yang lalu. TV3. Keletahnya Dia! Bersama Nespray. Rancangan itu membuatkan saya memberi reaksi yang pelbagai melalui lisan dan mimik wajah.
Ya, Memang rancangan itu sudah mengundang kontroversi kerana dikatakan meniru konsep yang di bawa oleh Aznil Hj. Nawawi melalui rancangannya, Tom-Tom Bak.
Najip Ali, bekas pengacara Asia Bagus, tidak begitu bagus mengacarakan rancangan itu, disamping pengisian rancangan itu sendiri yang agak hambar dan tidak ‘catchy’ untuk ditonton seisi keluarga.
Najip Ali dilihat kurang ‘homework’ untuk menunjukkan dia seorang yang sukakan kanak-kanak. dia juga seperti kadangkala ‘putus kata’ kerana mengikut skrip. Suasana semulajadi yang harus wujud dalam dunia kanak-kanak tidak ada dalam rancangan ini.
Minggu lepas juga, skrip (atau Najip sendiri yang cipta soalan), bertanyakan tentang soalan mas kahwin pada kanak-kanak yang berusia 4 dan 5 tahun. Soalan itu mungkin sengaja ingin menguji tahap pemikiran dan pengetahuan si cilik tentang dunia orang dewasa. Tak salah.
Namun, dunia kanak-kanak sangat luas, dan banyak perkara yang lebih penting yang harus ditanyakan kepada kanak-kanak seperti cita-cita, kawan-kawan, permainan yang digemari, nama ibu atau bapa, minta mereka cerita tentang kampung halaman dan sebagainya. Soalan tentang mas kahwin tak sesuai ditanyakan kepada mereka. itu pendapat saya.
Pihak di sebalik tabir rancangan ini seperti pengarah, penulis skrip, pengacara dan sesiapa sahaja yang terlibat harus mencontohi beberapa rancangan lain yang seumpamanya. Mencontohi bukan meniru. Membuat penyelidikan yang rapi dan mengkaji semula setiap apa yang telah dilakukan sebelum ini. Memasukkan elemen yang bersangkutan psikologi kanak-kanak boleh dikaitkan dengan minuman susu Nespray yang menjadi penaja utama rancangan ini.
Dipercayai rancangan ini telah di siarkan beberapa minggu yang lalu dan telah menerima pelbagai kritikan dan pandangan dari pelbagai pihak. Namun, perjalanan rancangan ini tetap sama. Tiada perubahan mahupun penambahbaikan.
Memang saya banyak pilihan untuk tidak menonton rancangan sebegini. Tetapi, alangkah sayangnya, kerana peluang yang diberi tidak digunakan sebaiknya untuk mendidik dan memberi input kepada masyarakat.
