Archive for November 30th, 2007

BERSIH dan HINDRAF

Posted in semasa on November 30th, 2007 by bayan

Saya tidak mengikut dengan sejelas-jelasnya [tidak berada di tempat kejadian] kedua-dua perhimpunan ini.

BERSIH dan Hindraf mempunyai perbezaan dari aspek agenda, cara pelaksanaan dan juga cara diselesaikan.

Tidak kiralah apa jua agenda di sebalik terjadinya perhimpunan itu, pada pendapat saya ada kebaikan perhimpunan tersebut di gagalkan.

Jika bukan gagal pun, perkataan yang akan saya gunakan ialah ‘ada baiknya ia tidak dilayan’. Ini kerana negara Malaysia sangat majmuk bukan dengan penduduk asalnya sahaja [Melayu, Cina, India dan penduduk Peribumi Sabah dan Sarawak], malah dengan pendatang asingnya yang kini dikatakan mencecah hampir 3 juta [lebih ramai dari kaum India sendiri.]

Bayangkan jika perhimpunan BERSIH berjaya, dan Hindraf juga berjaya, tidak mustahil jika semua kaum yang mempunyai agenda sendiri akan bangkit berhimpun. Begitu juga tidak mustahil warga asing juga akan turut berhimpun mahukan keadilan. Bagaimanakah agaknya nanti rupa muka bumi Malaysia?

Mungkin kita harus lebih berfikir dan mula mengkaji kaedah-kaedah yang boleh kita gunakan untuk mengubah sesuatu keadaan yang melibatkan kepentingan politik dan keselamatan negara.

Memang benar, ada sesetengah pihak mengatakan hanya itu sahaja jalan yang terbaik untuk menyatakan ketdakpuasan hati dan lain-lain..tetapi, lebih baik jika kita cari penyelesaian yang lebih praktikal.

Saya melihat beberapa gambar dan video perhimpunan BERSIH dan Hindraf. Apa yang saya lihat perjuangan mereka bersebab. Tetapi saya percaya, pasti ada cara lain yang lebih baik dari itu. Itupun jika kedua-dua pihak mahu menyelesaikannya dengan BAIK dan JUJUR.

Kepada pemimpin alaf baru ini juga, jangan fikir DIAM rakyat kerana takut. Rakyat lebih ramai dari pemimpin. Jangan sampai nilai hormat dicampak hanya kerana beberapa pemimpin yang tidak bagus.