Antara Penyelidik dan Pencuplik
Remy: This is me. I think it’s apparent that I need to rethink my life a little bit. I can’t help myself. I… I like good food, ok? And… good food is… hard for a rat to find!
Django: It wouldn’t be so hard to find, if you weren’t so picky!
Remy: I don’t wanna eat garbage dad!
Semalam, ketika sedang membaca Mingguan Malaysia tentang dunia perfileman Malaysia, saya terpaku membaca kenyataan seorang pengarah filem yang mempunyai nama dalam bidang perfileman dan akademik.
“Kalau filem saya tak bagus, takkan ia boleh dapat kutipan berjuta ringgit,’’ Katanya.
Saya semakin faham dan faham dan semakin faham tentang kuantiti dan kualiti. Malaysia sedang membina ketamadunannya melalui prinsip mempertahan kuantiti. Banyak contoh yang boleh dikupas.
Semakin jiwa enak melayan filem-filem bermutu dari barat [yang telah ditonton berpuluh kali], mata tak lepas membaca satu lagi rencana mengenai perfileman di Malaysia. Ya, KLIFF 2007 akan dilangsungkan tak lama lagi.
Sekali lagi;
“penganjuran festival itu merupakan projek serampang tiga mata di mana ia bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat pengedaran atau pemasaran filem dari dalam dan ke luar negara serta mempromosikan sektor pelancongan negara.”
Filem manakah yang akan kita bawa ke tengah untuk mempromosi budaya dan negara kita? Identiti yang bagaimanakah yang membolehkan kita diterima di persada antarabangsa sebagai filem yang beridentiti tersendiri?
Oh, ya, berkenaan dengan petikan dialog di atas, ia diambil dari filem Ratatouille, antara filem animasi yang berjaya menggamit hati kanak-kanak seperti filem-filem animasi dari barat yang sebelumnya.
Sebaris dengan filem animasi lain - Bee Movie, Ice Age 1 dan 2, Shrek 1,2, dan 3, Cars, Meet the Robinson, Over The Hedge, Madagascar, Happy Feet, Finding Nemo, The Reef, Shark Tales, Surfing Up dan sebagainya…sangat banyak.
Animasi kita? Ya, Kita juga ada beberapa filem animasi yang sedang diusahakan sebaiknya oleh pengkarya tempatan. Kita berusaha, dan belajar.
Jika menyebut tentang barat, mereka memang hebat dalam pelbagai bidang. Bukan sahaja filem animasi menjadi igauan peminat filem tempatan, tetapi juga filem-filem yang berkisar tentang sejarah, peperangan, cinta, kemasyarakatan, kekeluargaan, cinta. Wah, semua topik atau isu mereka kuasai dengan baik.
Nak dibandingkan dengan Malaysia, memang jauh panggang dari api atau bagai langit dengan bumi.
Titik persoalan bukan kerana RM atau Dolar atau lebih tepat berkaitan dengan soal modal, kewangan dan pelaburan yang telah digunapakai oleh mereka untuk menghasilkan filem yang baik dan bermutu sehingga mereka diangkat sebagai bangsa yang maju dan moden dalam aspek itu ini.
Ingat, wang ringgit bukan persoalannya.
Punca kepada kejayaan mereka berjaya dalam semua bidang adalah penyelidikan. Ya, isu penyelidikan yang berkualiti juga dikupas semasa Malaysia dikejutkan dengan berita universiti kita yang unggul terkeluar dari senarai universiti terbaik dunia.
Seorang pensyarah dari barat yang pernah bertugas di salah sebuah universiti di Malaysia juga menjelaskan semasa beliau bertugas di Malaysia, budaya penyelidikan yang dijalankan tidak begitu memberangsangkan. Bukan modal atau wang yang mempengaruhi kualiti sesuatu hasil atau produk, tetapi budaya dan semangat untuk membuat penyelidikan.
Berbalik kepada filem Malaysia, tidak kira filem animasi atau apa jua bentuk genre, filem itu haruslah berpijak dibumi yang nyata. Kita tidak begitu berjaya kerana kita malas membuat penyelidikan dari aspek kebudayaan, latarbelakang sesuatu tema yang hendak disampaikan dan yang paling memualkan meniru budaya lain yang dianggap boleh memasarkan filem kita ke persada dunia.
Mungkin ada beberapa filem kita yang agak baik dari aspek penyampaian, tema, skrip, dan lain-lain. Tapi itu boleh dikira dengan jari.
Yang selebihnya, hanya saduran. Penipuan dan akhirnya menjelik-jelikkan bangsa kita di mata bangsa asing. Sudah tiba masanya untuk penggiat filem dan pengkarya tempatan untuk membina jatidiri filem Malaysia yang unggul tanpa memikirkan soal RM. Didik rakyat dengan sesuatu dan bukannya memberi apa yang rakyat mahukan.
Buat penyelidikan yang jitu tentang budaya bangsa MALAYSIA dengan baik tanpa menyisihkan soal agama. Hasilkan filem yang sebegitu dan didik masyarakat untuk memilih bahan hiburan yang bermakna.
Tak salah meniru budaya penyelidikan barat dalam menghasilkan pelbagai perkara. Yang salah meniru budaya negatif dari barat semata-mata ingin dilihat sama taraf dengan mereka. Adegan seks secara terbuka, berpesta, tidak beretika dalam berpakaian - itu semua menjadi kewajipan dalam filem mereka. Apa nak kisah, itu budaya mereka. Itu adalah mereka.
Kita? Kita kan ada identiti unik dan tersendiri. Itu yang harus kita paparkan agar filem kita lain dari yang lain. Jangan ikut acuan mereka. Guna acuan kita. Acuan yang telah kita kenal ini seharusnya menjadi wadah terbaik untuk memartabatkan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang jatuh bangunnya kerana belajar dari kegagalan. Dan bukan mengambil serta mencedok sesuatu untuk berjaya.
Apa gunanya pelancong datang ke Malaysia jika apa yang dipparkan di sini sama sahaja dengan negara mereka? - Pakaian, cara bertutur, sosial, hiburan dan sebagainya.
Dan apa Gunanya mereka menonton filem Malaysia yang memaparkan adegan panas, serta babak-babak buatan yang ada dalam masyarakat mereka, malah mereka boleh buat lebih baik dari kita.
Mulai sekarang, belajar la menjadi penyelidik dan bukan pencuplik.
*cuplik : bahasa jawa - mengutip/memetik
