Archive for November 1st, 2007

Hari Sastera XIV

Posted in semasa on November 1st, 2007 by bayan

Hari Sastera ke XIV [ke-14], telah berlangsung pada 26-28 Oktober di Kuantan, Pahang dengan tema  Persuratan Melayu : Keperwiraan dan Keperkasaan di Bumi Idaman (Inderapura). Terdapat beberapa acara yang berlangsung pada hari itu iaitu:

  1. Majlis Perasmian Hari Sastera ke XIV
  2. Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu IX
  3. Simposium Penulis Pelbagai Kaum
  4. Visi Budaya Kebangsaan Tun Abdul Razak
  5. Seminar Tradisi Persuratan Darul Makmur
  6. Memasyarakatkan Sastera : Sastera Masuk Kampung

Hari Sastera tahun ini juga menghayati Perayaan Hari Keputeraan KDYMM Sultan Pahang yang ke-77 dan Sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia.

s4.jpg

 

s6.jpg

Seperti biasa saya akan bercerita serba sedikit tentang pengisian majlis ini.

  • Majlis perasmian yang diadakan di dewan Jubli Perak Sultan Hj. Ahmad Shah, Kuantan cukup meriah dan mempersona. Kehadiran para peserta dan tamu [rakyat Inderapura] amat memberangsangkan. Namun, masih berlaku kes kehilangan anak di dalam dewan yang tidak sebesar mana itu. Wahai ibu dan bapa, harap jangan terlalu leka.
  • Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis dan seterusnya nyanyian lagu negaraku [versi lama/klasik]. Acara terus dimulakan dengan persembahan kombo yang dijemput khas. Persembahan mereka memang menghiburkan apatah lagi dengan pembabitan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Adnan haji Yaakob, sebagai penyanyi yang tiba-tiba naik ke pentas. Walau bagaimanapun suara Dato’ Sri memang menghiburkan tetamu. Tetapi yang saya amat pelik apabila kombo tersebut menyanyi lagu ‘Pusara di Lebuh Raya’ dendangan Kumpulan Ekamatra suatu ketika dulu. Apa kaitannya dengan hari sastera?
  • Pidato Umum oleh Profesor Datuk dr. Zainal Kling tentang keunggulan Tun Abdul Razak semasa majlis perasmian tidak begitu sesuai memandangkan pidato itu terlalu panjang sehingga jam mencecah ke pukul 10 malam. Kebanyakan rakyat Inderapura juga meninggalkan kerusi masing-masing kerana mengantuk dan bosan.
  • Simposium penulis pelbagai kaum menempatkan lebih kurang seratus peserta [tak sampai seratus]. Apa yang dikesalkan, terdapat peserta yang tertidur dan membuat bising semasa pembentang berhujah di hadapan. Saranan saya agar selepas ini DBP/Gapena atau pihak yang bertanggungjawab akan menjemput mereka yang benar-benar berminat dengan simposium ini. Jangan paksa pelajar sekolah untuk menghadirinya kerana, golongan sebegini hanya merosakkan majlis dan berkelakuan tidak beradab dengan tidur dan bercakap sesama sendiri. Saya amat terganggu dengan situasi begini.
  • Pengurusan peserta agak kucar kacir memandangkan terdapat beberapa program dijalankan serentak.

Begitulah serba sedikit perjalanan Hari Sastera ini berlangsung. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana terpilih untuk menghadirinya. Banyak manfaat yang diperolehi. Banyak perkara yang dipelajari dan banyak semangat telah disuntik oleh penulis-penulis terkenal dan tersohor seperti Pak Samad Said, Faisal Tehrani, A. Wahab Hamzah, tokoh-tokoh budayawan, penulis lama, dan juga rakan penulis muda.

Berada di antara mereka memutikkan semangat untuk saya menulis sesuatu yang bermakna buat masyarakat. Selain itu, hati juga diajar untuk sentiasa mengagungkan Budaya dan Agama seperti kata Faisal Tehrani melalui novel Tuhan Manusia bahawa :

ANDAI KOTA ITU PERADABAN, RUMAH KAMI ADALAH BUDAYA, DAN TIANG SERINYA ADALAH AGAMA

Sign Up Advertlets