Archive for November, 2007

BERSIH dan HINDRAF

Posted in semasa on November 30th, 2007 by bayan

Saya tidak mengikut dengan sejelas-jelasnya [tidak berada di tempat kejadian] kedua-dua perhimpunan ini.

BERSIH dan Hindraf mempunyai perbezaan dari aspek agenda, cara pelaksanaan dan juga cara diselesaikan.

Tidak kiralah apa jua agenda di sebalik terjadinya perhimpunan itu, pada pendapat saya ada kebaikan perhimpunan tersebut di gagalkan.

Jika bukan gagal pun, perkataan yang akan saya gunakan ialah ‘ada baiknya ia tidak dilayan’. Ini kerana negara Malaysia sangat majmuk bukan dengan penduduk asalnya sahaja [Melayu, Cina, India dan penduduk Peribumi Sabah dan Sarawak], malah dengan pendatang asingnya yang kini dikatakan mencecah hampir 3 juta [lebih ramai dari kaum India sendiri.]

Bayangkan jika perhimpunan BERSIH berjaya, dan Hindraf juga berjaya, tidak mustahil jika semua kaum yang mempunyai agenda sendiri akan bangkit berhimpun. Begitu juga tidak mustahil warga asing juga akan turut berhimpun mahukan keadilan. Bagaimanakah agaknya nanti rupa muka bumi Malaysia?

Mungkin kita harus lebih berfikir dan mula mengkaji kaedah-kaedah yang boleh kita gunakan untuk mengubah sesuatu keadaan yang melibatkan kepentingan politik dan keselamatan negara.

Memang benar, ada sesetengah pihak mengatakan hanya itu sahaja jalan yang terbaik untuk menyatakan ketdakpuasan hati dan lain-lain..tetapi, lebih baik jika kita cari penyelesaian yang lebih praktikal.

Saya melihat beberapa gambar dan video perhimpunan BERSIH dan Hindraf. Apa yang saya lihat perjuangan mereka bersebab. Tetapi saya percaya, pasti ada cara lain yang lebih baik dari itu. Itupun jika kedua-dua pihak mahu menyelesaikannya dengan BAIK dan JUJUR.

Kepada pemimpin alaf baru ini juga, jangan fikir DIAM rakyat kerana takut. Rakyat lebih ramai dari pemimpin. Jangan sampai nilai hormat dicampak hanya kerana beberapa pemimpin yang tidak bagus.

Sign Up Advertlets

Antara Serumpun dan Sepohon

Posted in semasa on November 19th, 2007 by bayan

Kita sebenarnya bukan serumpun, kerana serumpun itu hakikatnya lebih bertebaran dan tidak berpaksi kepada akar yang sama, walaupun tanahnya sama. Kita SEPOHON.

 

one-ray-of-sunlight.jpg

Itu adalah kesimpulan yang dapat saya katakan melalui dua hari berkongres di Dewan Bahasa dan Pustaka. Kongres Sebudaya Serumpun yang bertemakan Budaya Serumpun Mendepani Globalisasi telah diadakan di DBP dengan anjuran bersama PENA (Persatuan penulis Nasional Malaysia) dan KEKKWA (Kementerian kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia).

Kongres ini dihadiri oleh budayawan, pensyarah, pendidik dan tokoh-tokoh dalam bidang sastera dan budaya dari negara Malaysia, Indonesia, Singapura dan juga Thailand.

Secara keseluruhan, saya jangkakan kongres sebegini akan membincangkan hal-hal yang berkaitan dengan isu kebudayaan dan perkembangan sastera dan budaya keempat-empat negara.

Seperti apa yang dijangka, isu-isu kebudayaan serumpun dibincangkan dengan baik meliputi aspek-aspek seperti :

  1. Pengalaman negara serumpun melalui cabaran globalisasi
  2. Komoditi Budaya dan Hasil Cipta Seni : Pengalaman Mancanegara
  3. Sastera sebagai teras pengucapan budaya
  4. Pengalaman sejarah budaya serumpun
  5. Pembinaan budaya dalam pendidikan
  6. Budaya sebagai teras jati diri.

Pemakalah bukan calang-calang. Antaranya ; Mohamad Salleh Rahamad (Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media, UM), Mohd Rahman Daud (Editor Akhbar Beruta Harian, singapura), S.M.Zakir (setiausaha agung PENA), Togari Yasuko (Penyelidik Kesenian dari Jepun), Abu Hassan Hasbullah (Pensyarah Kanan Jabatan pengajian Media, UM), Fadlin Muhammad Dja’afar (Pensyarah Depaartmen Etnomusikologi, Fakultas Sastra, Universitas Sumatera Utara Medan, Indonesia),Nik Abdul Rakib Nik Hassan (Pensyarah pengajian Melayu di Prince of Songkla University, kampus Patani), Fatin Hamama (Penyair Indonesia), Maman S. Mahayana (Pensyarah Fakultas Ilmu Pengetahuan Budaya universitas Indonesia), Abdul Razak Pandangmalam (Pensyarah Universiti Wailalak, Thailand), Arbaiyah Mohd. Nor (Pensyarah Jabatan Sejarah, UM), Muhammad Takari Jilin Syahrial (Pensyarah Universiti Sumatera Utara, Medan, Indonesia), Tengku Ariffin Tengku Chik (Pengerusi Yayasan Kebudayaan Selatan (YAKIS), Thailand), Azhar Ibrahim Alwi (Pensyarah Institut pendidikan Nasional universiti Teknologi Nanyang, Singapura), Eri Saramanah (Lektor Program Studi Pendidikan Bahasa dan Sastra indonesia, FKIP Universitas Pakuan Bogor), Mohamad Daud Mohamad (Ketua Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, DBP), Shamsudin Othman (Pensyarah), Suratman Markasan (Sasterawan ASAS 50, Singapura), Djamal Bakir (Pegawai Kebudayaan Kedutaan indonesia, di Malaysia), Nassury Ibrahim (pensyarah institut Perguruan Tuanku Bainun, Pulau Pinang), Rahimidin Zahari (Pegawai kebudayaan Istana Budaya), Zefri Ariff (budayawan Brunei) dan Pak Emha Ainun Nadjib (tokoh intelektual, Indonesia).

Akan saya bincangkan dapatan kongres ini di suatu masa nanti. Apa yang jelas, kongres ini membawa kepada penyatuan budaya kita sebagai satu kelompok yang serumpun (sepohon), dan tunjangnya adalah AGAMA.

Budaya memang menyatukan kita, tetapi masih ada kelompongan yang seterusnya membawa persoalan ke’bangsa’ an masing-masing yang akhirnya membawa sifat mementingkan bangsa, negara dan suku kaum masing-masing.

Alangkah eloknya jika budaya keserumpunan itu kita masukkan dalam kerangka AGAMA Islam yang pastinya menyatukan kita tanpa mengira ’siapa kamu’ dan ‘apa bangsamu’.

Serumpun juga tidak boleh digunapakai bagi menyatukan bangsa Melayu. Lebih tepat sekiranya kita menggunakan istilah SEPOHON.

serumpun.jpg

“Dari kapas menjadi benang, sudah benang dibuat kain”

Dan kita umpama kapas dari pohon yang serupa, dahannya semakin membesar dan memisahkan kita, namun, dari kapas itu tercipta benang yang pelbagai warna (akibat globalisasi). Seterusnya juga dari benang tersebut terhasil kain yang pelbagai corak dan warna (hasil budaya setempat dan globalisasi) yang membawa pula kepada kegunaan yang pelbagai.

Itulah kita wahai saudara sepohon…Indonesia, Singapura dan Thailand.

Antara Penyelidik dan Pencuplik

Posted in infotainment on November 12th, 2007 by bayan

 

th-lr.jpg

Remy: This is me. I think it’s apparent that I need to rethink my life a little bit. I can’t help myself. I… I like good food, ok? And… good food is… hard for a rat to find!

Django: It wouldn’t be so hard to find, if you weren’t so picky!

Remy: I don’t wanna eat garbage dad!

Semalam, ketika sedang membaca Mingguan Malaysia tentang dunia perfileman Malaysia, saya terpaku membaca kenyataan seorang pengarah filem yang mempunyai nama dalam bidang perfileman dan akademik.

“Kalau filem saya tak bagus, takkan ia boleh dapat kutipan berjuta ringgit,’’ Katanya.

Saya semakin faham dan faham dan semakin faham tentang kuantiti dan kualiti. Malaysia sedang membina ketamadunannya melalui prinsip mempertahan kuantiti. Banyak contoh yang boleh dikupas.

Semakin jiwa enak melayan filem-filem bermutu dari barat [yang telah ditonton berpuluh kali], mata tak lepas membaca satu lagi rencana mengenai perfileman di Malaysia. Ya, KLIFF 2007 akan dilangsungkan tak lama lagi.

Sekali lagi;

“penganjuran festival itu merupakan projek serampang tiga mata di mana ia bertujuan menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat pengedaran atau pemasaran filem dari dalam dan ke luar negara serta mempromosikan sektor pelancongan negara.”

Filem manakah yang akan kita bawa ke tengah untuk mempromosi budaya dan negara kita? Identiti yang bagaimanakah yang membolehkan kita diterima di persada antarabangsa sebagai filem yang beridentiti tersendiri?

Oh, ya, berkenaan dengan petikan dialog di atas, ia diambil dari filem Ratatouille, antara filem animasi yang berjaya menggamit hati kanak-kanak seperti filem-filem animasi dari barat yang sebelumnya.

th-per8_1111_jpg.jpgSebaris dengan filem animasi lain - Bee Movie, Ice Age 1 dan 2, Shrek 1,2, dan 3, Cars, Meet the Robinson, Over The Hedge, Madagascar, Happy Feet, Finding Nemo, The Reef, Shark Tales, Surfing Up dan sebagainya…sangat banyak.

Animasi kita? Ya, Kita juga ada beberapa filem animasi yang sedang diusahakan sebaiknya oleh pengkarya tempatan. Kita berusaha, dan belajar.

Jika menyebut tentang barat, mereka memang hebat dalam pelbagai bidang. Bukan sahaja filem animasi menjadi igauan peminat filem tempatan, tetapi juga filem-filem yang berkisar tentang sejarah, peperangan, cinta, kemasyarakatan, kekeluargaan, cinta. Wah, semua topik atau isu mereka kuasai dengan baik.

Nak dibandingkan dengan Malaysia, memang jauh panggang dari api atau bagai langit dengan bumi.

Titik persoalan bukan kerana RM atau Dolar atau lebih tepat berkaitan dengan soal modal, kewangan dan pelaburan yang telah digunapakai oleh mereka untuk menghasilkan filem yang baik dan bermutu sehingga mereka diangkat sebagai bangsa yang maju dan moden dalam aspek itu ini.

Ingat, wang ringgit bukan persoalannya.

Punca kepada kejayaan mereka berjaya dalam semua bidang adalah penyelidikan. Ya, isu penyelidikan yang berkualiti juga dikupas semasa Malaysia dikejutkan dengan berita universiti kita yang unggul terkeluar dari senarai universiti terbaik dunia.

Seorang pensyarah dari barat yang pernah bertugas di salah sebuah universiti di Malaysia juga menjelaskan semasa beliau bertugas di Malaysia, budaya penyelidikan yang dijalankan tidak begitu memberangsangkan. Bukan modal atau wang yang mempengaruhi kualiti sesuatu hasil atau produk, tetapi budaya dan semangat untuk membuat penyelidikan.

Berbalik kepada filem Malaysia, tidak kira filem animasi atau apa jua bentuk genre, filem itu haruslah berpijak dibumi yang nyata. Kita tidak begitu berjaya kerana kita malas membuat penyelidikan dari aspek kebudayaan, latarbelakang sesuatu tema yang hendak disampaikan dan yang paling memualkan meniru budaya lain yang dianggap boleh memasarkan filem kita ke persada dunia.

Mungkin ada beberapa filem kita yang agak baik dari aspek penyampaian, tema, skrip, dan lain-lain. Tapi itu boleh dikira dengan jari.

Yang selebihnya, hanya saduran. Penipuan dan akhirnya menjelik-jelikkan bangsa kita di mata bangsa asing. Sudah tiba masanya untuk penggiat filem dan pengkarya tempatan untuk membina jatidiri filem Malaysia yang unggul tanpa memikirkan soal RM. Didik rakyat dengan sesuatu dan bukannya memberi apa yang rakyat mahukan.

Buat penyelidikan yang jitu tentang budaya bangsa MALAYSIA dengan baik tanpa menyisihkan soal agama. Hasilkan filem yang sebegitu dan didik masyarakat untuk memilih bahan hiburan yang bermakna.

Tak salah meniru budaya penyelidikan barat dalam menghasilkan pelbagai perkara. Yang salah meniru budaya negatif dari barat semata-mata ingin dilihat sama taraf dengan mereka. Adegan seks secara terbuka, berpesta, tidak beretika dalam berpakaian - itu semua menjadi kewajipan dalam filem mereka. Apa nak kisah, itu budaya mereka. Itu adalah mereka.

Kita? Kita kan ada identiti unik dan tersendiri. Itu yang harus kita paparkan agar filem kita lain dari yang lain. Jangan ikut acuan mereka. Guna acuan kita. Acuan yang telah kita kenal ini seharusnya menjadi wadah terbaik untuk memartabatkan bangsa Malaysia sebagai bangsa yang jatuh bangunnya kerana belajar dari kegagalan. Dan bukan mengambil serta mencedok sesuatu untuk berjaya.

Apa gunanya pelancong datang ke Malaysia jika apa yang dipparkan di sini sama sahaja dengan negara mereka? - Pakaian, cara bertutur, sosial, hiburan dan sebagainya.

Dan apa Gunanya mereka menonton filem Malaysia yang memaparkan adegan panas, serta babak-babak buatan yang ada dalam masyarakat mereka, malah mereka boleh buat lebih baik dari kita.

Mulai sekarang, belajar la menjadi penyelidik dan bukan pencuplik.

*cuplik : bahasa jawa - mengutip/memetik

Hari Sastera XIV

Posted in semasa on November 1st, 2007 by bayan

Hari Sastera ke XIV [ke-14], telah berlangsung pada 26-28 Oktober di Kuantan, Pahang dengan tema  Persuratan Melayu : Keperwiraan dan Keperkasaan di Bumi Idaman (Inderapura). Terdapat beberapa acara yang berlangsung pada hari itu iaitu:

  1. Majlis Perasmian Hari Sastera ke XIV
  2. Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu IX
  3. Simposium Penulis Pelbagai Kaum
  4. Visi Budaya Kebangsaan Tun Abdul Razak
  5. Seminar Tradisi Persuratan Darul Makmur
  6. Memasyarakatkan Sastera : Sastera Masuk Kampung

Hari Sastera tahun ini juga menghayati Perayaan Hari Keputeraan KDYMM Sultan Pahang yang ke-77 dan Sambutan 50 tahun kemerdekaan Malaysia.

s4.jpg

 

s6.jpg

Seperti biasa saya akan bercerita serba sedikit tentang pengisian majlis ini.

  • Majlis perasmian yang diadakan di dewan Jubli Perak Sultan Hj. Ahmad Shah, Kuantan cukup meriah dan mempersona. Kehadiran para peserta dan tamu [rakyat Inderapura] amat memberangsangkan. Namun, masih berlaku kes kehilangan anak di dalam dewan yang tidak sebesar mana itu. Wahai ibu dan bapa, harap jangan terlalu leka.
  • Majlis perasmian dimulakan dengan ucapan pengerusi majlis dan seterusnya nyanyian lagu negaraku [versi lama/klasik]. Acara terus dimulakan dengan persembahan kombo yang dijemput khas. Persembahan mereka memang menghiburkan apatah lagi dengan pembabitan Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Adnan haji Yaakob, sebagai penyanyi yang tiba-tiba naik ke pentas. Walau bagaimanapun suara Dato’ Sri memang menghiburkan tetamu. Tetapi yang saya amat pelik apabila kombo tersebut menyanyi lagu ‘Pusara di Lebuh Raya’ dendangan Kumpulan Ekamatra suatu ketika dulu. Apa kaitannya dengan hari sastera?
  • Pidato Umum oleh Profesor Datuk dr. Zainal Kling tentang keunggulan Tun Abdul Razak semasa majlis perasmian tidak begitu sesuai memandangkan pidato itu terlalu panjang sehingga jam mencecah ke pukul 10 malam. Kebanyakan rakyat Inderapura juga meninggalkan kerusi masing-masing kerana mengantuk dan bosan.
  • Simposium penulis pelbagai kaum menempatkan lebih kurang seratus peserta [tak sampai seratus]. Apa yang dikesalkan, terdapat peserta yang tertidur dan membuat bising semasa pembentang berhujah di hadapan. Saranan saya agar selepas ini DBP/Gapena atau pihak yang bertanggungjawab akan menjemput mereka yang benar-benar berminat dengan simposium ini. Jangan paksa pelajar sekolah untuk menghadirinya kerana, golongan sebegini hanya merosakkan majlis dan berkelakuan tidak beradab dengan tidur dan bercakap sesama sendiri. Saya amat terganggu dengan situasi begini.
  • Pengurusan peserta agak kucar kacir memandangkan terdapat beberapa program dijalankan serentak.

Begitulah serba sedikit perjalanan Hari Sastera ini berlangsung. Walau bagaimanapun, saya bersyukur kerana terpilih untuk menghadirinya. Banyak manfaat yang diperolehi. Banyak perkara yang dipelajari dan banyak semangat telah disuntik oleh penulis-penulis terkenal dan tersohor seperti Pak Samad Said, Faisal Tehrani, A. Wahab Hamzah, tokoh-tokoh budayawan, penulis lama, dan juga rakan penulis muda.

Berada di antara mereka memutikkan semangat untuk saya menulis sesuatu yang bermakna buat masyarakat. Selain itu, hati juga diajar untuk sentiasa mengagungkan Budaya dan Agama seperti kata Faisal Tehrani melalui novel Tuhan Manusia bahawa :

ANDAI KOTA ITU PERADABAN, RUMAH KAMI ADALAH BUDAYA, DAN TIANG SERINYA ADALAH AGAMA