Majlis Kahwin Kosong
Posted in life on October 22nd, 2007 by bayanMasih di dalam bulan Syawal. Cuti yang panjang memberi peluang kepada mereka yang ingin melangsungkan majlis perkahwinan. Memang banyak majlis kahwin yang di adakan. Raya kedua sudah ada majlis kahwin yang perlu dihadiri.
Tersepit antara majlis rumah terbuka yang memang secara tradisinya dibuat pada hari raya kedua oleh keluarga saya, membuatkan saya memandang sepi undangan seorang rakan lama yang akan menamatkan zaman bujangnya pada hari tersebut.
Cuti raya selama 12 hari membuatkan saya berhari raya dengan agak aman berselang seli dengan undangan majlis kahwin dari sanak saudara dan jiran tetangga.
Ucapan raya bertukar menjadi ucapan tahniah kepada pasangan pengantin. Duit raya dan hadiah kahwin memeningkan kepala seketika. Pagi beraya rumah pakcik, petang pula menghadiri majlis kahwin anak makcik.
Dan semalam saya menghadiri majlis perkahwinan sepupu kepada emak. Jaraknya tidak berapa jauh, namun, saya pergi dengan hati yang separuh-setengah, kerana saya bercadang mahu bertolak balik ke Kuala Lumpur awal sedikit dengan andaian jalan akan jem.
Emak menyebut semula tentang silaturrahim yang saya canangkan sebelum ini kepada adik-adik yang tak mahu menemani emak dan abah ke rumah sanak saudara dan jiran tetangga.
SILATURRAHIM. Itu yang saya selalu tekankan. Dan kini saya kena buktikan yang saya juga mementingkan silaturrahim dengan menghadiri majlis kahwin itu.
Perjalanan mengambil masa setengah jam. Majlis dibuat di Dewan Serbaguna. Persiapan sangat menawan. Maksud saya, pelamin yang berwarna keemasan, bunga pahar yang cantik dan bunga-bungaan yang menghiasi sepanjang laluan masuk dalam dewan sehingga ke pelamin di atas pentas. MAAF, tiada gambar kerana hati yang separuh-setengah tadi tak mengingatkan akal supaya membawa kamera.
Setelah duduk dan mengambil hidangan saya mula menyuap makanan dan menikmati pemandangan majlis ini.
Silaturrahim apakah yang boleh saya jalinkan apabila sang DJ memutarkan lagu sebegitu kuat sehingga abah di sebelah bercakap dengan emak dengan suara yang menjerit-jerit?
Silaturrahim apakah yang boleh saya kukuhkan jika sang penyanyi menyanyi dengan separuh mati, berpakaian seksi sambil bergelek menyanyikan lagu Bossanova. Pakcik ternganga dan makcik menjengilkan mata.
Setelah dua tiga lagu di dendangkan, si penyanyi dan Dj berhenti seketika untuk menjamah makanan. Saya fikir, alhamdulillah buat seketika saya boleh menerpa ke arah nenek dan pakcik makcik saudara dan mengikat semula silaturrahim yang terhurai akibat kesibukan masing-masing dengan hal duniawi.
Aduhai, sang DJ, memang dibayar. Jadi dia meninggalkan mejanya dengan lagu-lagu yang dipasang terlalu kuat.
Abah tak tahan menekup telinga. Emak yang suka berbual pula kering gusi kerana terpaksa cakap dengan kuat dan KUAT. Akibatnya, kami balik sebelum pengantin bersanding.
Silaturrahim yang sepatutnya wujud dan berkembang mekar dalam majlis sebegini, KOSONG dan MATI.
Kerana itulah, Islam telah mensyariatkan agar majlis perkahwinan dilaksanakan bukan untuk menunjuk-nunjuk atau berhibur. Tujuan asalnya adalah untuk mengikat silaturrahim bukan sahaja untuk si pengantin dan pasangannya serta mengukuhkan ikatan dua keluarga, malah, tetamu dan sanak saudara yang hadir juga dapat bertemu mata dan menjalinkan ikatan silaturrahim yang sangat banyak manfaatnya.
Kita membelanjakan duit yang banyak bagi majlis yang hebat dan menarik untuk menghiburkan tetamu dan sanak saudara [yang kadangkala memuaskan hati sendiri sahaja]. Kita korbankan nilai silaturrahim dengan menabur wang kepada perkara-perkara yang boleh membawa kepada sifat mementingkan diri sendiri, dosa dan maksiat.
Itu yang selalu kita lupa! ![]()
