Keinginan vs Keupayaan
Posted in moneytalk on August 13th, 2007 by bayanSaya tidak suka matematik. Buat apa susah-susah belajar algebra, rumus, penaakulan logik, pecahan dan sebagainya. Ditambah lagi dengan matematik tambahan yang bakal membuatkan otak menjadi beku.
Benarkah keupayaan menguasai sesuatu bidang atau subjek berlandaskan kepada minat dan ‘takdir’.
“kenapa boleh dapat score A dalam subjek matematik?”
“minat”
“kenapa memilih bidang ini sebagai mata pencarian?”
“takdir”
Benarkah? Bagi saya keupayaan menguasai sesuatu bidang bukanlah berdasarkan minat dan takdir semata-mata tetapi bergantung kepada cara ia dipupuk.
Sejak sekolah rendah saya tidak minat dan tak boleh ‘masuk’ dengan subjek matematik. Malahan, markah peperiksaan sekadar cukup makan dan kadangkala gagal.
Begitu juga dengan subjek Ekonomi yang selalu membuatkan saya patah semangat untuk pergi ke sekolah akibat guru yang terlalu tegas dan juga ‘otak’ saya yang terlalu tepu ke arah kira-kira. Pernah sekali saya didenda dan dimalukan kerana tidak dapat menjawab soalan mudah berkaitan dengan teori ekonomi. Sekali lagi SPM mencatatkan keputusan yang cukup-cukup makan untuk subjek ekonomi. Begitu juga dengan keputusan untuk subjek ekonomi semasa saya mengambil peperiksaan STPM. Semuanya berlalu dengan hampa. Dan saya percaya saya tidak ada ‘chemistry’ dengan bidang yang berkaitan dengan pengiraan dan kewangan.
Kini, setelah menamatkan pengajian [yang sudah tentunya tidak berkaitan dengan kira-kira], saya sedar setiap orang ada kelebihan masing-masing. Benarkah bakat sekali lagi mengambil tempat dalam menentukan arah tuju dan sumber pendapatan seseorang?
Melihat kepada fenomena masa kini, hampir setiap orang mempunyai kerja sampingan untuk menambah pendapatan. Desakan hidup dan perkembangan ekonomi yang semakin mantap menjadikan setiap orang berlumba-lumba membuat dua tiga pekerjaan untuk menambah pendapatan.
Saya banyak membaca kejayaan perniagaan secara online atau offline individu tertentu. Malahan perkembangan perniagaan berasaskan internet berkembang dengan pantas dan mempunyai pengikut-pengikut tertentu.
Pada mulanya saya tertanya-tanya. Apakah yang mereka niagakan? siapa sasaran dan berapa modal yang dikeluarkan? Setelah membaca beberapa artikel mengenai perniagaan internet, saya menjadi minat dan berkeinginan untuk mencuba walaupun usaha masih ‘zero’ dan pengetahuan juga masih ’sifar’.
Apa yang masih berlegar-legar di minda saya ialah, adakah keinginan yang kuat dan kental untuk mencuba bidang perniagaan sudah mencukupi, tanpa keupayaan dan bakat untuk merealisasikannya?
Rujukan berkaitan: